Saturday, 27 August 2016

RAHSIA & MISTERI DOA "*Laa ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz dzhalimin

Assalamualaikum
Secebis santapan rohani bagi kita 

Apakah rahsia di sebalik doa "*Laa ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz dzhalimin*" yang secara zahirnya seperti ringan disebut, mudah dihafal? Bagaimana mungkin satu doa seperti ini dapat menyelematkan seseorang dari musibah yang amat besar, sebesar ditelan oleh ikan paus?

Adakah doa ini khusus untuk Nabi Yunus a.s atau umum untuk semua umat Islam? Demikianlah beberapa rahsia dan misteri yang ingin saya kongsikan seterusnya.

1⃣Rahsia pertama:
perhatikan bahawa doa ini dibuka dengan kalimah tauhid "Tiada Tuhan melainkan Allah". Kalimah tauhid tidak sekadar bermaksud tiada tuhan yang berhak aku sembah melainkan Allah SWT, tetapi dalam konteks ini juga bermaksud tiada tuhan yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan memunajatkan keselamatan melainkan Allah SWT. Pembukaan seperti ini membuktikan kemantapan dan ketauladanan tauhid Nabi Yunus a.s di mana beliau tidak mengadu dan berharap kepada siapapun melainkan hanya Allah SWT sahaja.

Ini merupakan manhaj para Rasul dan Nabi a.s yang mesti kita ikuti. Perhatikan – sebagai contoh lain – sikap Nabi Ayyub a.s ketika beliau ditimpa penyakit. Beliau tidak mengadu kepada para doktor atau sesiapa pun, tetapi mengadu hanya kepada Allah saja:
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub a.s, ketika dia berdoa merayu kepada Allah SWT dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani." [Al-Anbiya 21:83]

2⃣Rahsia kedua
Seterusnya Nabi Yunus a.s mengucapkan "Maha Suci Engkau (ya Allah):", bererti mensucikan Allah SWT dari segala bentuk-bentuk kezaliman atau penganiayaan. Lebih mendalam lagi, Nabi Yunus a.s mensucikan Allah SWT bahwa apa yang menimpanya saat itu (ditelan oleh ikan paus) bukanlah merupakan satu bentuk penganiayaan oleh Allah SWT ke atas dirinya.

Penyucian ini penting ditegaskan kerana kadangkala apabila ditimpa kesusahan, kita marah atau menyalahkan Allah. Malah kita menuduh Allah SWT sengaja menganiaya diri kita. Tidaklah Maha Suci Allah menganiaya manusia, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri:
"Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." [al-Nahl 16:118]

3⃣Rahsia ketiga
Tanpa keberatan, tanpa alasan yang berlapik-lapik, Nabi Yunus a.s terus mengaku kesalahannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri." Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri, yakni dengan mengakui kesalahan dirinya sendiri.

Selain itu Nabi Yunus a.s sedar bahawa kesusahan yang menimpanya saat itu, iaitu ditelan oleh ikan paus, merupakan kesan dari kesalahan dirinya sendiri yang telah melarikan diri dari tugas dakwah yang Allah SWT amanahkan kepadanya. 
Sesuatu yang sedia dimaklumi bahawa salah satu faktor seseorang itu ditimpa kesusahan dan kesulitan ialah kerana dosa-dosa hasil dari kesalahan yang pernah dia lakukan sendiri. Allah SWT menyatakan hakikat ini:

"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu." [Al-Shura 42:30]

Demikianlah tiga rahsia di balik mujarabnya doa Nabi Yunus a.s. Ia bukanlah sekadar ucapan yang ringan di mulut, malah mudah dihafal, serta ucapan yang memantapkan tauhid, mensucikan Allah dan mengakui kesalahan diri sendiri sekaligus mengisyaratkan pemohonan keampunan.

No comments:

Post a Comment