Wednesday 31 August 2016

KISAH AIMAN BANNA MENYENTUH HATI

"Anak kau sambung mana? Universiti mana? Dapat biasiswa apa?"

"Awak, kalau saya tak dapat bagi awak zuriat selamanya, awak buat apa? Tinggalkan saya ke?"
___
Semalam Ummi berkongsi cerita ketika kami sedang menunggu order makanan kami sampai.

"Hari tu dalam kelas accounting, lepas habis sesi lecture, Ummi tanya soalan kat semua students Ummi, Ummi tanya 'Kenal Aiman Banna tak..?'. 

Selepas je Ummi sebut nama Aiman, terus semua student Ummi bersorak dan menjerit sambil kata, 'Kenal laa madam. Kami kenal Aiman Banna!!!'. Kelas bising masa tu..."

Ketika itu, saya mula tersenyum. Menarik nak tahu sambungan kisah daripada Ummiku itu.

"Sebenarnya, Aiman tu anak saya..." Ummi ceritakan situasi ketika itu dengan ceria.

"Lepas tu, semua student Ummi sindir, 'Oh kalau macam tu Aiman Banna tu sebenarnya kawan saya juga madam...'. Mereka macam sindir la macam Ummi ni sengaja main-main ngaku Aiman ni anak Ummi. Mereka semua macam tak percaya yang Aiman Banna ni anak Ummi..."

Haha. Kelakar juga anak murid Ummi kat UiTM tu ya. Obviously muka saya ni follow muka mak saya. Huhu. Saya memotong kerancakan cerita Ummi; "Lepas tu Ummi respon apa?"

Ummi sambung, "Ummi cakap la, 'Betul... Saya ni mak Aiman Banna.'. Ummi serius dan tak main-main sebab memang betul Aiman anak Ummi."

"Lepas mereka dah yakin yang Aiman ni anak Ummi, terus mereka menjerit seronok. Siap ada antara mereka yang offer dengan seronok nak jadi isteri kedua Aiman!" 

Gulp! Saya telan air liur. Ummi lupa ke yang isteri saya sedang duduk di sebelah. Dengar je perkataan 'isteri kedua' terus dia jeling saya setajam-tajamnya. Pergh, menakutkan!

Ummi pun macam terlupa yang Hani Nabila ada di sebelah saya ketika itu. Terus Ummi tukar topik lain. Walau apa-apa pun, isu isteri kedua atau poligami tetap selamanya menjadi isu sensitif.

Ketika itu, saya tersenyum seronok bila tengok Ummi galak bercerita. Dan saya pun tak sangka yang saya akan jadi seperti ini hari ini.

Namun, bukan ini cerita utama dalam nukilan saya hari ini. Bukan...

Saya nak ceritakan tentang;
CINTA DUA WANITA YANG MULIA.

Bila dengar cerita Ummi tentang student-studentnya (yang saya ceritakan di atas) yang seronok mahu jadi isteri saya walaupun obviously saya dah berkahwin; respon saya langsung tak seronok mahupun gembira walau secebis. Kerana apa? Saya akan ceritakan sebentar sahaja lagi.

Bila dengar cerita Ummi versi student tadi, teringat pula versi lecturer yang sama universiti dengan Ummi berkata "Untung Puan Muliati dapat anak macam Aiman Banna..."

Ada perempuan yang katanya seronok menjadi isteri saya. Ada juga perempuan yang kata untungnya dapat anak macam saya.

Untung..?
Seronok..?

Yakin ke akan untung dan seronok untuk ada kaitan dengan manusia macam saya ini..?

Untung ke dapat anak macam saya..!?

Anak yang kurang ajar dan pernah tengking ibunya sendiri? Naikkan suara ikut suka dan ingkar arahan yang diberi lembut oleh ibu sendiri. Menipu dan suka mencuri duit ibu senyap-senyap.

Anak yang pernah lari dari rumah berbulan-bulan lamanya? Tak balik rumah lama. Langsung tak call, langsung abaikan family. Jalan hidup sendiri dengan sombong sedangkan ibu di rumah sedang menangis rindu...

Anak yang akademik teruk dan malas belajar? Result exam yang hampeh. Pernah dapat nombor last dalam batch 3 kali berturut-turut. Suka ponteng kelas dan ponteng kelas.

Anak yang berhenti sekolah, tak masuk universiti? Drop-out, berhenti ketika masih sekolah dan tak sambung mana-mana universiti. Tak balik rumah dan ikut kepala sendiri.

Itulah apa yang Ummi saya terpaksa lalui sepanjang hidup dia. Hidup membesarkan anak nakal dan jahat macam saya. Cuba kau bayang situasi dia yang ada anak macam saya?

Untung ke dapat anak yang bebal dan nakal macam saya?
Siapa je yang nak anak yang teruk macam saya...!?

Betapa hinanya diri aku yang banyak derhaka,
Betapa buruk dan hodoh manusia macam aku!

Mungkin tiada perempuan yang mampu handle manusia macam saya, selain manusia yang dipilih Tuhan untuk dapat anak bernama Aiman; iaitu Ummi saya.

Cuba bayangkan apa yang dia nak jawab dulu, ketika orang tanya;

"Anak kau sambung mana? Universiti mana? Dapat biasiswa apa?"

Apa yang dia boleh jawab? 
Anak dia dropout! Anak dia berhenti sekolah! Anak dia ponteng sekolah! Anak dia teruk dan perangai samseng!

Apa yang dia boleh jawab?

Apa yang dia nak jawab bila saya tak balik ketika hari raya aidilfitri? Ya saya pernah tidak balik bulan Ramadhan penuh dan aidilfitri. 

Apa yang dia boleh katakan tentang anak dia yang ego ini?

Ini kisah tentang Ummi saya, dan kepada yang kata seronok sekiranya dapat jadi isteri saya, dengarlah kisah isteri saya ini sedikit sebanyak. Saya yakin, tidak ada seorang perempuan pun yang ada selera nak tengok muka saya walau sesaat lepas dengar kisah ini...
---
Dia terima saya ketika saya hina.

Ketika itu saya dibenci oleh ramai orang. Bahkan kawan baiknya selama ini pun bagi dia pilihan;

"Pilih Aiman atau pilih aku."

"Aku tak nak kau pilih Aiman. Dia jahat. Perangai dia tu teruk. Kalau kau sayang aku, kau tak terima lamaran Aiman...."

"Kau tau tak ramai orang benci dia. Ramai orang tak suka dia. Ramai orang cerita keburukan dia. Dia tu munafiq!"

"Ramai lagi lelaki yang nak kat kau. Buat apa pilih pilihan paling buruk!"

Dan macam-macam lagi tohmahan dan kutukan yang diberikan kepada saya. Ketika itu, bagaikan semua ingin bongkarkan kisah silam saya saya. Cerita buruk yang benar dan fitnah, semua dicampur aduk untuk menunjukkan betapa buruknya saya...

Ketika itu saya tiada harta. Saya miskin. Saya tiada kerja bahkan saya tiada duit simpanan yang banyak pun.

Tapi entah kenapa, takdir Allah... Saya dan dia bernikah ketika saya masih berumur 18 tahun.

Dan cuba anda bayangkan, sepanjang dia menjadi isteri saya, 3 perkara ni buat saya menangis teresak-esak.

1. Dia pernah guna jubah hitam dan tudung labuh yang sama, berulang-ulang kali. The one and only jubah dan tudung labuh. Jika sudah bau, kami akan cuci pada waktu malam dan keringkan di bawah kipas supaya pagi esok boleh guna jubah yang wangi. Berulang-ulang kali kerana apa? Saya miskin dan tak mampu nak beli jubah yang banyak.

Kenapa ada satu je jubah? Kerana dia baru sahaja berhijrah daripada pakaian seluar jeans dan tshirt biasa. Dia dah mula guna tudung labuh dan tinggalkan shawl dan pashmina. Dia dah mula guna purdah dengan istiqamah kerana apa?
Kerana suaminya minta dia jadi solehah.

Dan dia sanggup tinggalkan keenakan kehidupan remaja demi bersama saya. Dia sanggup guna the only jubah dan tudung labuh demi saya.

2. Pernah tempat sewa kami nak kena kunci pagar dengan paksa. Kami kena halau oleh owner kerana sudah berbulan-bulan tidak bayar sewa. Saya menangis kerana bisnes saya tidak jalan dan kena tipu banyak pihak. Saya tidak mampu bagi nafkah duit macam biasa kepada dia.

Namun dia masih senyum setiap pagi dan kata 'Awak, teruskan kuat ya... Allah ada..."

Saya perasan dulu, dia selalu scroll instagram dan tengok instashop jual jubah cantik-cantik. Jual bag cantik. Jual banyak barang cantik. Tapi dia tak pernah minta kepada saya sebab dia tahu, saya terdesak. Saya tahu, dia nak sangat beli online tapi kerana dia sayang saya, dia tinggalkan keinginan nafsu dia. Allahu akbar.

3. Kami usaha untuk dapatkan anak, tapi tidak dapat. Kami tunggu-tunggu dan terus menunggu namun bila buat pregnancy test, negative.

Saya sedih. Saya agak berduka. Dia tahu bahawa saya nak sangat anak. Ye lah, siapa yang tak hendakkan zuriat kan?

Sehinggalah satu hari, dia pergi kepada saya dan tanya;

"Awak, kalau saya tak dapat bagi awak zuriat selamanya, awak buat apa? Tinggalkan saya ke?"
Saya senyap. Saya tiada mood ketika itu.
"Awak..."
"Kalau saya tak dapat bagi awak anak.., jangan ceraikan saya ya..."

Saya telan air liur. Dia ni dah kenapa..?
"Awak kahwinlah dengan perempuan yang boleh bagi awak anak. Awak bahagia, saya pun bahagia,,,"

Allahu Akbar, jatuh air mata saya. Saya menangis senyap-senyap, Saya menjerit dalam hati. Saya rasa macam saya tak layak dapat isteri macam dia. Dia lebih sanggup lihat saya bahagia biarpun diri dia sendiri derita.

Perempuan mana je yang suka dimadukan kan?

Lihatlah dirinya. Seorang perempuan yang telah menjadi isteri namun cintanya kepada saya teramat tinggi!
---
Boleh ke anda terima saya di saat saya tengah hina? Ketika saya tiada harta yang mampu saya berikan; mampukan anda terima saya seadanya? Sanggup ke anda terima saya ketika sahabat rapat anda larang anda menerima saya? Mampukah anda terima saya saat saya dibenci oleh ramai orang..?

Simpan jawapan anda. Kerana saya yakin jawapan 'ya' hanya mampu dijawab dan dilakukan oleh isteri saya yang pertama dan selamanya inshaAllah, iaitu Hani Nabila.

Satu soalan lagi, sanggupkah anda terima seorang anak yang teruk macam saya?

Lari dari rumah, drop-out, suka ponteng, biadap dan tak hormat ibu bapa dan berjuta lagi kenakalan saya seperti yang saya ceritakan di atas tadi. Sanggupkah anda?

Saya yakin, tiada siapa yang nak tapi yang dapat anak macam saya ini. Namun Ummi, telah berjaya mendidik saya dan kuatkan saya ketika jahiiah. Ummi terima diri saya yang berhijrah. 
---
Namun ingatlah ini. Selepas hujan ada pelangi!
Selepas
Hujan
Ada
Pelangi

Hari ini, Allah berikan saya kekuatan untuk berubah dan pada yang sama saya mampu bahagiakan dua insan yang amat saya cinta iaitu isteri dan Ummi.

Jika dulu saya ada banyak masala, sekarang banyak yang dah berubah kerana ia semua hadiah dari Allah.

Nakal?
Tiada anak?
Banyak jahiliah?
Drop out in academic?
Masalah kewangan?

Itu semua masalah, nak tahu apa hadiah? Nah...

Sekarang isteri saya sedang pregnant 7 bulan, inshaAllah due bulan 10 tahun ini. Saya tinggalkan jahiliah dan komited dalam dakwah. Alhamdulillah saya telah menjadi seorang pendakwah yang berdakwah lebih daripada 300 institusi seluruh Malaysia bahkan luar negara (akan ke Beijing, Indonesia, Thailand dan Brunei tahun ini...)

Sekarang, bisnes saya semakin berkembang. Alhamdulillah ada 5 bisnes Sdn. Bhd. yang sedang dijalankan (Publication, consultancy, book cafe, creative design, studio production) dan akan berkembang dari masa ke masa. Juga da berbelas staff yang digajikan untuk support syarikat. Saya juga sedang menyambung pelajaran dalam bidang Usul Fiqh di Madinah International University.

Dapat anugerah antara buku terbaik 2015 dan tercalon dalam anugerah buku pilihan pembaca Berita Harian 2016. Buku-buku saya personal sudah terjual lebih daripada 100,000 naskhah. Alhamdulillah.

Lihat! Bukankah saya telah mengatakan bahawa selepas hujan ada pelangi. Ya, selepas masalah akan ada hadiah daripada Allah!

Ini antara kisah saya yang saya kongsikan bukan untuk riyak dan menunjuk. Demi Allah, niat utama saya bukan untuk nampak hebat atau buka aib sendiri. Niat saya ialah untuk bagi inspirasi kepada anak muda hari ini agar kita kembali semula kepada Nabi dan Ilahi. Amin :)

CINTA DUA WANITA YANG MULIA.
Itulah dia isteri dan Ummi saya :)

Moga Allah kurnia mereka dua Syurga. Amin...

Seorang Hamba,
Aiman Banna.

#AimanBanna.

---

p/s:
Untuk tahu kisah penuh saya seperti tidur di KL Sentral, tidur merempat di beberapa tempat, jual baju pasar malam dan roti sosej untuk tampung kos hidup lepas lari dari rumah 2 bulan. Bagaimana saya minta maaf dengan ummi, bagaimana saya bina bisnes dari zero, bagaimana saya tercetus nak hijrah lepas teruk berjahiliah dan macam-macam lagi. 

Kisah penuh ini akan saya padatkan secara terperinci dalam buku saya yang terbaru bertajuk "Move On: Bertaubatlah sebelum taubat tidak lagi menjadi ubat!". InshaAllah pertengahan bulan September 2016 buku Move On by Aiman Banna akan ada di pasaran.

Apa-apa pun, doakan saya agar mampu kuat dan istiqamah dalam perjuangan dakwah dan tarbiah ummah. Amin :)

No comments:

Post a Comment